Pelancaran Buku Nusantaria dan Koleksi IBDE

Pelancaran Buku Nusantaria dan Koleksi IBDE

SRI DAMANSARA, 24 Julai 2026 — Buku IBDE telah melancarkan terbitan terbaru iaitu Nusantaria: Kepulauan Asia di Mata Dunia yang merupakan terjemahan bagi buku Empire of the Winds: The Global Role of Asia's Great Archipelago. Karya jurnalis Philip Bowring itu telah diterjemahkan oleh Tadzrul Adha dan Tuan Shahira Amilin. 

Nusantaria merupakan buku yang memperkenalkan sejarah sebuah rantau yang terulung suatu ketika dahulu. Lautan Asia Tenggara bukan sekadar hamparan air biru di atas peta. Lautan ini merupakan nadi perhubungan dan laluan perdagangan. 
Daratan Nusantaria pula menjelma pentas pertembungan budaya dan kuasa dinasti purba selama ribuan tahun antara Asia Timur, India, Arab-Parsi, Eropah dan pantai timur Afrika. Rantau ini bukan sahaja dilihat sebagai "penerima" pengaruh dari China dan India, namun penghuni Nusantaria adalah pelaut, pedagang dan pembina empayar yang tersendiri.
Buku ini membawa pembaca menelusuri garis sejarah yang membentuk rantau ini, dimulai dengan pelayaran awal masyarakat Austronesia, pembentukan pelabuhan dan empayar maritim seperti Srivijaya dan Majapahit, sehinggalah penjelajahan kuasa asing yang memburu rempah dan kekayaan.
Walaupun identiti Nusantaria pada hari ini tidak lagi dicanang, namun warga Nusantaria masih lagi disatukan dengan sejarah, akar linguistik dan warisan budaya yang serumpun.

Selain itu turut dilancarkan adalah Koleksi IBDE iaitu cenderamata merangkumi beg kanvas, buku nota Idea, rantai kunci, poskad dan stiker lembar. Terdapat dua pilihan koleksi iaitu set warna kuning dan set warna biru. Rekaan koleksi ini dikerjakan oleh pereka IBDE, Rasydan Fitri, selain turut berkolaborasi dengan pengarang & ilustrator Saharil Hasril Sanin.

Pelancaran Nusantaria dan Koleksi IBDE telah dilaksanakan di semua saluran media sosial IBDE dan mendapat sambutan hangat daripada pembeli.

Produk Berkaitan