Perang Dunia Pertama baru berakhir ketika seorang bayi dilahirkan di sebuah desa kecil di tebing Sungai Mbashe. Tahun itu juga menyaksikan berakhirnya Perang Besar dan meletusnya wabak selsema. Bayi itu dinamakan Rolihlahla dan di negeri kelahirannya nama itu bererti ‘menarik ranting pokok’. Ayahnya seorang ketua kaum dan penasihat raja. Dibesarkan dalam keluarga yang besar, majmuk dan boleh dikira senang, segala pengalaman ketika tempoh itu sedikit sebanyak membentuk jatidiri dan sarwa pandangnya kelak. Namun siapa sangka, Rolihlahla yang merupakan anak dari isteri ketiga ayahnya akan menempuh jalan berliku dalam hidupnya untuk mencapai kebebasan bangsa dan negaranya.
Banyak sekali petikan kata-kata Nelson Mandela yang terkenal adalah berkenaan pendidikan. Baginya, pendidikan adalah jalan pembebasan. Bebas daripada pe njajahan, kemiskinan dan kekolotan. Ketika usia muda lagi, sewaktu cuti belajar, raja suku kaumnya mengaturkan perkahwinan untuknya. Meski raja tersebutlah individu yang mendanai pendidikannya tetapi hasil pelajaran yang didapatkannya membuatkan Mandela bersedia untuk melawan aturan adat daripada seorang raja yang perintahnya tidak boleh diingkari. Dia memutuskan untuk melarikan diri—menjual lembu sang raja, menyewa kereta dan lari ke stesen keretapi lain untuk mengelak daripada dihalang sang raja. Dalam autobiografinya yang terkenal, Mandela: Jalan Berliku Menuju Kebebasan (IBDE, 2018), Mandela mencatatkan pergelutannya bersama sahabat baiknya, Justice, untuk melarikan diri. Antara halangan ketika itu adalah penduduk kulit hitam berumur 16 tahun ke atas dikehendaki membawa pas kebenaran khas. Pas yang dipanggil 'pas peribumi' itu kepada mana-mana polis kulit putih, penjawat awam atau majikan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga perlu menunjukkan dokumen perjalanan, surat penjaga dan majikan. Ternyata dasar apartheid yang diperkenalkan kerajaan Afrikaner National Party pada tahun 1948 begitu mencengkam dan merosak penduduk terbanyak Afrika Selatan. Tahun-tahun berikutnya menyaksikan bagaimana pendidikan menyalakan semangat dalam diri Mandela untuk memimpin unit separa tentera pertubuhan perjuangan yang disertainya.
Ketika menjadi peguam pelatih di sebuah firma milik seorang Yahudi, Nelson Mandela menampilkan kecekapannya sebagai seorang pekerja. Pemilik firma itu, seorang budiman yang tidak membezakan kaum kulit putih atau hitam, Mandela juga semakin mendekati politik. Salah seorang rakan sekerjanya ahli parti Komunis dan dia juga sempat berkenalan dengan beberapa pemimpin pergerakan lain walaupun beberapa kali dinasihati bosnya, Encik Sidelsky, agar menjauhi dunia politik yang rosak dan kotor. Namun dalam autobiografinya, Mandela menyatakan menjadi orang Afrika di Afrika Selatan bermakna seseorang itu terlibat dengan politik dari saat dia lahir, sama ada dia sedar atau tidak. Tambahnya, "anak Afrika dilahirkan dalam hospital untuk orang Afrika sahaja, dibawa ke rumah oleh bas untuk orang Afrika sahaja, tinggal dalam kediaman untuk orang Afrika sahaja, dan hadir ke sekolah untuk orang Afrika sahaja." Apatah lagi pelecehan, penghinaan dan sekian banyak kutukan yang diterimanya, menyemarakkan lagi kemarahan dalam diri, mewujudkan pemberontakan dan keinginan untuk melawan sistem yang mengekang rakyat. Mandela pengagum Walter Sisulu, seorang pejuang bangsanya dalam ANC (African National Congress). Di rumah Walter banyak pertemuan anak muda berlaku dan Mandela belajar beberapa perkara penting, antaranya: perasaan rendah diri adalah halangan terbesar menuju pembebasan. Di rumah ini juga dia bertemu dengan isteri pertamanya, Evelyn Mase. Mandela dan rakan-rakannya percaya kepada perjuangan bersifat militan, dan pada hari Paskah tahun 1944, Liga Pemuda, sayap pemuda ANC, ditubuhkan. Sayap ini bersifat Akrikanisme dan ketika itu Mandela sendiri menolak kerjasama dengan Komunis (ideologi asing) dan orang kulit putih.
Ketika ANC menggerakkan Kempen Penentangan, ia mendapat sokongan padu kawasan bandar tetapi gagal menembusi pedesaan. Kemudian pada tahun 1952, Mandela terpilih sebagai salah seorang timbalan presiden. Saat ini, dia semakin giat menggerakkan kesedaran dan penentangan dasar aparteid melalui kempen-kempen yang dijalankan ANC. Namun hubungan Mandela dan isterinya mula goyah ketika ini. Evelyn sering menganggap politik sebagai hiburan anak muda. Beberapa tahun kemudian Mandela dan seluruh kepimpinan eksekutif ANC ditahan atas tuduhan pengkhianatan tertinggi. Mereka dikumpulkan di Penjara Johannesburg sebelum melewati pelbagai kerumitan sewaktu proses pendakwaan dalam mahkamah. Sebagai ujian dalam perjuangan, Mandela berdepan pula keruntuhan rumah tangganya. Mandela dan Evelyn berpisah dan tiga anak mereka ternyata terkesan akibatnya.
Buku terjemahan Alina Abdullah yang berketebalan 764 halaman ini akan membuatkan kita benar-benar bersama Mandela mengharungi suka-duka perjuangannya. Tidak hairanlah jika ramai pemimpin politik menyarankan buku ini untuk dibaca. Bahagian paling membekas dalam buku ini cukup banyak tapi barangkali, yang paling mengesankan adalah bahagian yang menceritakan kehidupan Mandela sepanjang tempohnya dipenjarakan. Bayangkan anda terpaksa menghabiskan 27 tahun di dalam penjara ketika bangsa dan negara memerlukan suara dan tindak anda di luar sana. Apakah nyala perjuangan Mandela memudar? Pastilah tidak. Bahkan, di dalam penjara, Mandela mengatur dan merencana untuk pendukung partinya di luar sana. Penjara mengajarnya mengawal diri dan berfikiran lebih tajam, bercampur dengan pelbagai watak. Di dalam penjara juga, dia membina jaringan politik dengan banduan-banduan dari bangsa lain. Pada tahun 1990, di tengah desakan awam dan kecaman antarabangsa, Nelson Mandela dibebaskan. Dia mendapat sambutan hangat yang luar biasa ketika menyampaikan ucapan di Cape Town sejurus dibebaskan. Segenap masyarakat berkumpul dan berteriak meraikan kepulangan wira mereka. Memang panjang sekali jalan berliku yang dilaluinya dan akhirnya membuahkan kejayaan. Namun bagi Mandela ujian sebenar kesetiaan terhadap kebebasan baru sahaja bermula ketika melangkah keluar dari penjara.
18 Julai dinamakan sebagai Hari Mandela. Satu hari untuk mengenang Mandela tidak cukup untuk kita merasai jerih payah perjuangannya, tetapi mungkin cukup untuk membelek beberapa halaman dari buku Mandela: Jalan Berliku Menuju Kebebasan, dan menyematkan dalam hati: kebebasan itu hak setiap insan.