Onn Melawan Takdir

Onn Melawan Takdir

Siapa saja membayangkan susuk Dato’ Onn Ja’afar setiap kali tanggal 31 Ogos tiba? Hari Kebangsaan terlalu akrab dengan Tunku Abdul Rahman sehingga imej bertanjaknya yang menggawang tangan ke udara bersebati dalam fikiran kita. Jika ditatap foto hari keramat itu seakan terdengar laungan Merdekanya, nyaring dan seru. Mujur, sejarah tidak objektif. Sekurang-kurangnya masih ada buku dan penulisan yang mengabsahkan sumbangan Onn Ja’afar sebagai perintis kemerdekaan, atau sebagai ahli politik yang beraneka warna perjalanan politiknya. Nekad: Potret Kehidupan Dato’ Sir Onn bin Ja’afar karya Pamela Ong Siew Im barangkali dapat menjawab pelbagai persoalan yang pernah difikirkan warga Malaysia: siapakah Onn Ja’afar?


   Lahir dalam keluarga  bangsawan, Onn dibesarkan dalam kehidupan yang kelihatan menjamin masa depannya. Namanya pasti kedengaran unik bagi mereka pada zamannya. Apabila Rugayah Hanum melahirkannya, ayahandanya Dato Ja’afar iaitu Menteri  Besar  pertama Johor telah memanggil Kadi Besar Johor, Syed Salim al-Attas untuk menamakan bayi tersebut. Kadi itu memilih gabungan huruf ain, wau dan nun dengan harapan ia dapat memberi keperibadian yang tersendiri kepada anaknya. Onn mewarisi rupa dari ibunya yang bukan Melayu. Kulitnya cerah, hidungnya mancung. Namun hayat ibunya tidak lama, ia meninggal sewaktu Onn kecil. 


 Sejurus pemergian ibunya, Onn dihantar ke England  ketika  berumur 9 tahun. Di sana, beliau giat dalam pelbagai kegiatan seperti teater, kriket, hoki dan bola sepak. Malah Onn mula menunjukkan bakat menulisnya selain memerankan watak utama dalam pementasan akhir tahun. Tamat pengajian, Onn pulang ke Johor. Pada umur yang belum mencapai 20 tahun, dia sudah mula berkhidmat dengan kerajaan negeri. Pada tempoh ini kita akan melihat bagaimana bibit-bibit pertentangan antaranya dengan Sultan Ibrahim telah melemparnya ke jalan kemiskinan. Jiwa muda Onn yang tidak kena dengan kelaku pegawai-pegawai British dan tindakan-tindakan Sultan, membuatkan kerajaan curiga terhadapnya. Dalam bab “Surat Kenworthy”, dilampirkan surat-surat yang dihantar Onn ke London mengadukan hal ehwal Johor. Namun kerajaan British tidak mempercayai surat-surat Onn. Pemuda yang mulanya rapat dengan Sultan, kemudiannya dibuang negeri. Kehidupan peritanya ketika miskin diperikan dengan cukup baik oleh penulis.


   Bayangkan anda berada pada 80 tahun lalu, menyelak Warta Malaya tahun 1931, atau tahun 1932. Halaman depannya dipenuhi iklan basikal Raleigh atau susu Lactogen atau rokok Craven A, dan halaman seterusnya anda disajikan dengan Alf Laila wa Lailah penuh satu muka, selak lagi, lagi dan di muka tengah kita akan bertemu tulisan berapi-api Onn Ja’afar. Hari ini kecaman terhadap sultan Johor, besok kritikan pengagihan biasiswa yang sedikit untuk anak negeri, lusa kegusaran perihal bahasa Melayu dan tulat ia merintih perihal nasib dan budaya bangsa. Terjemahan Seribu Satu Malam yang disirikan dalam akhbar Warta Negara kemudian dibukukan. Onn menjadi Pengarangnya. Onn juga pernah menerbitkan sendiri bukunya dan terjual laris pada cetakan pertama. Darah kewartawanan yang mengalir dalam jasadnya menjadikan beliau pengarang atau editor untuk banyak akhbar seperti Lembaga Malaya, Warta Ahad  dan Warta Malaya. Namun, apakah titik ubah kemudian yang mengembalikan Onn kepada sentimen pro-monarki, atau lebih tepat, kepada Sultan Johor sehingga menghasilkan buku Selamat Johor?


   Ketika zaman muda, Onn gemar bermain mahjong. Tetapi kegemarannya tidak melalaikan atau mendatangkan kerugian kerana dia tahu mengatur strategi dan tahu bila untuk berhenti. Ketika dewasa dan sudah melewati beberapa perkahwinan yang tidak menjadi, Onn kian matang dan mula bersungguh memikirkan masa depan tanahair dan bangsanya. Dalam buku ini turut mencatatkan kisah Onn menghentikan tindakan Kiyai Salleh yang masyhur itu. Peristiwa tersebut dan juga bagaimana Onn mengetuai orang Melayu melawan Malayan Union bukan sahaja mengembalikan kepercayaan Sultan kepadanya bahkan melonjakkan namanya dalam arena politik Tanah Melayu. Lidah tajam dan keberaniannya telah menggusarkan Harold MacMichael, ditambah tekanan bangsa Melayu dan seterusnya penubuhan UMNO; kesemua hal ini telah membuka jalan kepada usaha mencapai kemerdekaan.


   Dalam bab-bab terawal telah diceritakan alam kehidupan Onn: pendidikan, persekitaran, pertumbuhan usia; semuanya mendukung kepada pembinaan jati diri yang tersendiri buatnya. Melihat kepada semua itu, bersama perubahan semasa, tidak mustahil menjadikan Onn seorang yang berfikiran terbuka, bersedia menerima gagasan baru dan berubah jika perlu. Ahli UMNO tentu tidak mungkin lupa cadangan Onn membuka keahlian kepada bukan Melayu yang telah menaikkan radang kebanyakan ahlinya. Dek tidak diterima, Onn mengundur diri bersama-sama anaknya, Hussein. Hari ini, ramai yang menduga-duga dan menerka-nerka akan ucapan terakhirnya sebagai Yang DiPertua Umno dan mengaitkannya dengan teori konspirasi yang mengarut. Demikianlah Onn, seorang pandai tulis yang tidak lupa menyelipkan kecanggihan bahasa dalam penulisannya.


Masa depan beliau yang mulanya dilihat berkilau beransur-ansur menuju kesuraman. Menubuhkan dua buah parti sambil menukar ideologi dan rakan politik, suara Onn masih didengar biarpun sayup. Paling menarik, pakatan pembangkang yang menyedari betapa perlunya suara Onn dalam parlimen telah memberikan tempat untuknya bertanding di parlimen Kuala Terengganu Selatan. Pada 1959 Onn terpilih sebagai satu-satunya ahli parlimen daripada Parti Negara.


    Kita tidak boleh melupakan usaha Onn yang menubuhkan RIDA yang kemudian dimajukan menjadi MARA. Dan keunggulannya sebagai penulis dan kasih beliau akan tulisan Jawi. Buku Nekad: Potret Kehidupan Dato’ Sir Onn bin Ja’afar ini turut menyebutkan tabiat Onn yang sukakan kopi, gula-gula dan rokok. Dituruti pertambahan usia dan keresahan yang selalu menyerang, Onn meninggal dunia pada Januari 1962 akibat masalah jantung dan kencing manis. Pemergiannya diberikan pemakaman negara, menunjukkan Tunku mengakui segala sumbangan Dato’ Onn Ja’afar, seorang pemimpin yang nekad dan berwawasan jauh.

Produk Berkaitan