Ulasan Buku Perang Dunia Pertama

Ulasan Buku Perang Dunia Pertama

Pembaca tegar, saudara Kamarul Faizal mengulas buku Perang Dunia Kedua tulisan A.J.P. Taylor



Perang adalah urusan yang tersangat berbahaya untuk diserahkan kepada Jeneral. Pengalaman turut membuktikan bahawa perang juga urusan yang sangat gawat untuk diuruskan oleh Negarawan. Pendek kata sesiapa sahaja yang mengetuai peperangan ianya adalah risiko yang sangat tinggi baik dari segi kehilangan nyawa, kerosakkan harta benda dan kerugian.
Usai membaca Perang Dunia Kedua (WWII) terbitan Patriots Publishing pada penghujung tahun 2022 saya memasukkan gear keempat dan kelima dari segi pembacaan buku kerana sekuel Perang Dunia Kedua akan diluncurkan pada awal Januari 2023. Sementara momentum buku peperangan sedang ada dan saya membaca sambil membuat penandaan.
Terlalu banyak fakta yang diceritakan dan bukan semua mampu saya cerap. Jadi penandaan kepada poin–poin yang saya rasa mewakili bab yang saya baca adalah untuk membolehkan saya mendapatkan idea kepada gambaran keseluruhan bagaimana perang ini terjadi. Berbanding WWII yang lebih mendapat perhatian kerana impaknya, Perang Dunia Pertama (WWI) juga tidak kurangnya kepada geopolitik dunia khususnya di Eropah dan dunia amnya.
Berakhirnya WWI meninggalkan impak yang signifikan terhadap politik, ekonomi, sosial dan teknologi dari sudut geopolitik dan perhubungan antarabangsa. 


Impak Politik
Keruntuhan sistem monarki di Russia (Tsar), Jerman (William II) dan Austria (Charles I) digantikan dengan kerajaan Demokrasi dan Republik. Kewujudan negara baru akibat perpecahan dari Empayar Russia seperti Lithuania, Poland, Finland dan Latvia. Selain itu, Empayar Turki Uthmaniyyah seperti Lubnan, Syria dan Iraq. 
Perjanjian Versails telah melorong kepada pembentukan Liga Bangsa pada 1919 yang merupakan asas kepada PBB sebaik tamat PDII. Konsep negara bangsa atau nasionalisme yang dipelopori oleh Presiden Woodraw Wilson disambut oleh India dan Asia Tenggara. 


Impak Ekonomi.
Perubahan pusat ekonomi dari Eropah ke Amerika Syarikat dan Jepun.  Isu inflasi yang melampau akibat pasca perang ke atas Britain, Perancis dan Jerman akibat kehilangan sumber selain dari pengenaan cukai yang tinggi. 


Kesan Sosial
Kadar kematian yang tinggi baik dipihak tentera seramai 10 juta dan 13 juta dipihak orang awam. Di samping itu pembabitan wanita sebagai pengundi di Britain dengan penggubalan Representation of the People Act 1918.  Jumlah tenaga kerja wanita dalam sektor perkilangan dan perindustrian tinggi berikutan kerancakan aktiviti tersebut. 


Impak Teknologi.
Berlaku perubahan teknik peperangan yang melibatkan gabungan aset. Rentetan penggunaan senjata kimia yang mengakibatkan pencemaran alam yang meluas dan susulan dari Konflik bersenjata Iraq Iran tahun 70an, Chemical Weapon Convention (CWC) diwujudkan bagi mengekang tujuan tersebut. Di samping itu bank darah diwujudkan pada 1914 bagi menangani keperluan perawatan.
Buku ini dibahagikan berdasarkan tempoh masa perang tersebut iaitu 1914, 1915, 1916, 1917, 1918 dan 1919: Sesudah Perang bagi mengetahui kronologi dari segi peristiwa yang berlaku sepanjang rentang waktu berkenaan. Lebih menarik buku ini ditulis berdasarkan siri syarahannya yang diadakan secara bersahaja di televisyen. Kerana itu apabila membaca buku ini saya terasa seakan penulis bercerita dan bukannya menulis. Namun ia tetap bacaan yang sangat berbaloi untuk mengetahui secara umum (walaupun diceritakan dengan agak terperinci) bagi saya mengetahui peristiwa – peristiwa yang berlaku sepanjang 1914 – 1919.


1914
Sebahagian besar dari peperangan terjadi di perbatasan Eropah yang melibatkan Kuasa Berikat (Allied Power) dan Kuasa Tengah (Central Power). Persaingan 5 kuasa besar iaitu Jerman (Prussia –Empayar Habsburg Austria-Hungary, Daulah Turki Uthmaniyyah), Britain, Perancis, Itali dan Russia dalam penguasaan sumber, hegemoni dan juga ideologi antara sebab kenapa terjadinya perang tersebut.
Umum melalui pelajaran sejarah di sekolah menengah pembunuhan Arcduke Franz Ferdinand yang merupakan Fil Marsyal dan Inspektor Jeneral Empayar Austria-Hungary oleh Gavrilo Princip di Saravejo pada 28 Jun 1914 memicu kepada tembakan sulung Perang Dunia Pertama dan kemudian perang diisytiharkan di Berlin pada 1 Ogos 1914.
Umumnya peperangan ini melibatkan pertempuran 1 lawan 4 iaitu Jerman menentang Britain, Perancis, Itali dan Russia di Perbatasan Barat dan Timur. Jerman dikenali sebagai Windsor dalam nama Inggerisnya.  


1915
WWI adalah perang dimana peperangan bahan kimia mula digunakan (chemical warfare) di Ypress pada 22 April 1915 oleh pasukan Jerman. Matlamat akhir dalam peperangan kimia atau gas beracun adalah untuk mencacatkan anggota selain melambatkan pergerakan infantri. Penggunaan topeng adalah diwajibkan bagi mengelakkan kebutaan atau masalah radang kerabunan atau penglihatan sementara.
Selain dari penggunaan gas beracun, Jerman juga buat pertama membangunkan teknologi halimunannya di lautan iaitu kapal selam atau Bot-U. Pada ketika itu matlamat kapal selam adalah untuk pengawasan atau pemantauan pergerakkan armada Laut Britain dan meledakkan kapal dagang. Walaupun ketika itu kemampuan kapal selam hanya untuk pelayaran jarak dekat tetapi ia berkemampuan tinggi untuk memalukan pihak lawan.
Satu hal yang menarik adalah pembabitan pekerja wanita dalam industri peperangan. Di Britain ratusan ribu wanita dikerahkan untuk bekerja di perindustrian berkaitan peperangan baik dalam pengurusan dan juga operasi. Sehinggakan tugasan perkeranian yang selama ini dilakukan oleh lelaki akhir pupus selepas wanita mengambilalih. Wanita mula mencari nafkah secara besar-besaran.
Dalam 5 kuasa besar hanya Itali yang paling kurang dari segi kelengkapan peperangan walaupun mempunyai angkatan yang besar dari segi anggotanya pasca Perang Libya pada 1912. Itali menghadapi masalah untuk menembusi perbatasan Jerman dan Austria-Hungary disebabkan halangan semulajadi seperti hutan yang tebal dan kawasan yang bergunung ganang.
Sistem kerahan dan sukarelawan dilaksanakan bagi mengenalpasti 650,000 pengelat yang terdiri dari lelaki bujang yang enggan menyertai perang. Justifikasi utama kepada keengganan adalah peperangan adalah melanggar prinsip moral yang tinggi.
Pada masa ini Empayar Turki Uthmaniyyah berada diambang kehancuran. Britain dan Perancis mula mengambil kesempatan atas alasan kerugian yang ditanggung oleh kedua-dua pihak. Mereka mula merampas wilayah – wilayah dengan menjanjikan kemerdekaan ke atas Arab dari Turki. Pertempuran Gallipoli adalah checkmate kepada Turki bahawa Turki bukanlah kuasa penentuan perang. Atau di lain kata Turki adalah pihak tiada kuasa untuk memenangi peperangan.


1916
Walaupun 4 kuasa berperang menentang hakikatnya kerjasama itu hanya di atas kertas. Masing – masing bergerak secara sendirian tanpa koordinasi, tiada pertukaran maklumat dan tiada kesegeraan pergerakkan dalam menyerang Jerman. Contohnya Jen Haig (Britain) mempunyai 38 div dan Jen Joffre (Perancis) mempunyai 95 div. Jumlah apabila digabungkan menjadi 139 div apabila bergabung dengan Belgium. Tetapi masing – masing mempunyai perbezaan strategi dengan Haig memilih strategi ‘menggulung’ Jerman dari Utara dan Joffre memilih garisan di Somme untuk anggota berkumpul.
Verdun dan Somme antara medan pertempuran yang paling berdarah. Jumlah angka korban dikedua – dua pihak saling pintas memintas. Contohnya menjelang penghujung Jun angka korban di pihak Perancis adalah 315,000 berbanding Jerman 281,000 yang mana sebelum ini Jerman adalah lebih tinggi.  Pertempuran di Verdun adalah babak yang paling tidak masuk akal kerana kedua – dua pihak hadir hanya untuk bertempur tanpa ada objektif. Tiada hadiah untuk diraih atau kehilangan. Hanya manusia untuk dibunuh dan kemenangan dicapai.
Di Somme barisan hadapan bergelut dengan ketebalan lumpur yang diluar dugaan. Kesukaran dalam melakukan mobilisasi kenderaan dan anggota menyebabkan ia mampu ditembusi sekitar 5 batu di Britain dan Perancis. Angka korban pula mencecah 420,000 di pihak Britain dan 200,000 di pihak Perancis. Manakala Jerman pula 450,000 atau lebih. Pertempuran di Somme adalah kekalahan yang tidak dapat ditebus. Ia sepatutnya melucutkan semangat juang Jerman tetapi ia tidak mampu melumpuh angkatan Jerman sebagai satu pasukan. Berbeza pula dengan Britain yang seakan hilang moral dan motivasi walaupun memenangi pertempuran tersebut. Perang tidak lagi mempunyai matlamat. Ia berlanjutan sekadar mengisi kekosongan perang itu sendiri. Tidak lebih sebagai peraduan pertahanan.
Dalam peperangan yang berlanjutan, ada usaha yang mahu perang segera ditamatkan. Tetapi buntu dalam penyelesaian. Rundingan? Lalu timbul pendapat ‘Mengapa kita patut berunding apabila kita tidak boleh dikalahkan?’ Lalu semua memilih peperangan sebagai medium untuk jaminan keamanan dan manusia ke medan perang dengan penuh keyakinan bahawa tidak akan ada perang sesudah itu.


1917
Penggunaan jentera berperisai pertama digunakan. Pada tahun sebelum itu beberapa jentera berperisai telah digunakan dalam pertempuran di Somme.
Terdapat suatu lawak jika Napoleon bangkit dari kubur pada 1917 dia tidak akan menemukan apa – apa yang mengejutkan terhadap persekitaran di Eropah. Peperangan yang berlaku antara kuasa – kuasa di Eropah tidak jauh berbeza dengan eranya melainkan pada skala yang lebih besar sahaja. Tetapi apabila dia menunggu lagi beberapa bulan pastinya dia akan terkejut dan kebingungan.
Situasi peperangan membabitkan Anglo vs Jerman beserta sekutu – sekutunya. Pada satu keadaan manusia lelaki akan beratur di dalam parit untuk berperang, manakala perempuan pula beratur mendapatkan roti.
Antara kuasa baru yang terlibat dalam peperangan ini adalah Amerika pada 6 April 1917. Proklamasi ini dikeluarkan berikutan kapal dagangnya di serang oleh pihak Jerman. Asalnya Amerika adalah pihak yang teragak – agak untuk menyertai perang dan lebih selesa dengan dasar pemencilan atau isolasinya dari pening dengan pergolakan geopolitik dunia. Baginya mereka adalah semutlaknya benar dan Jerman semutlaknya salah.
Pada masa yang sama Amerika juga menaung pasukan Berikat dari segi bentuk pinjaman dan  bantuan. Tetapi ianya akan dibayar usai dari peperangan.
Pada tahun yang sama kebangkitan Lenin dari buangan di Zurich dengan fahaman Bolsheviksme di Soviet turut merancakkan suasana peperangan.  Beliau tidak berniat untuk mengalahkan kerajaan Jerman atau menjadikan dunia aman dengan demokrasi. Sebaliknya untuk menggulingkan kerajaan sedia ada dan menubuhkan Sosialisme Antarabangsa atau K0mun1sme.
Pertempuran Ypress adalah pertempuran lumpur. Dalam edisi ketiga pertempuran tersebut, kemaraan tentera Britain hanya sekitar 1 batu sahaja. Garisan utama Jerman langsung tidak terjejas. Dengan curahan hujan tanpa henti, menjadikan tanah medan yang dihujani bom semakin berselut. Tentera bergelut untuk mara sehingga tenggelam ke paras pinggang. Senjata hilang di dalam selut dan lumpur. Malahan kereta kebal turut hilang tenggelam dalam lumpur. Nahas korban di pihak tentera adalah masing – masing 300,000 dan kurang 200,000 di pihak Britain dan Jerman.
Pertempuran Passchendale turut tiada bezanya dengan keadaan di Ypress, sehinggakan Haig berkata, ‘Ya Tuhan, betulkah kita hantar manusia untuk bertempur dalam lumpur begitu?’
Dalam merencanakan keamanan Wilson, Presiden US mempelopori usaha tersebut dan Lenin turut tumpang menjadi jaguh keamanan dibawah fahaman Bolshevikisme. Ludendorff (Jerman), Llyod (Britain) dan Clemenceau (Perancis) walaupun saling berseteru tetapi secara prinsipnya mereka bersetuju dengan mencapai keamanan melalui Wilson atau Lenin.


1918
Menjelang 1918 separuh dari Perang Dunia Pertama berakhir pada Mac. Jerman dan Russia kehilangan beberapa wilayah dan wilayah ini naik sebagai negara baltik baru seperti Poland dan Ukraine. Ketika perang masih berlangsung Selesema Sepanyol telah menjangkiti angkatan perang dan seterusnya merebak ke seluruh dunia apabila tentera – tentera ini kembali ke negara masing – masing. Misalnya di India jumlah korban melebihi angka korban sepanjang 4 tahun peperangan berlaku. Manusia semakin menderita apabila perang menghampiri puncaknya.
Dalam usaha perencanaan keamanan Empat Belas Fasal telah dibentuk oleh 4 kuasa dan dipengerusikan Amerika. Amerika adalah negara yang paling kurang terjejas dari segi korban dan kerugian asset. Walaupun mereka tidak mensasarkan Jerman sebagai pesalah tetapi Britain dan Perancis telah bercadang untuk merampas beberapa wilayah di Jerman.
Turki Uthmaniyyah adalah sekutu Jerman yang pertama musnah. Keadaan menyebabkan banyak wilayah di bawahnya dirobek oleh kuasa – kuasa pemenang WWI terutamanya Perancis dan Britain. Pada masa yang sama Empayar Habsburg juga lenyap. Kesannya Czech, Poland, Romania, Slav wujud sebagai negara merdeka. Czechoslovakia wujud hanya menerusi panggilan telefon. Semudah itu.
Berlaku juga pemberontakan armada Laut disebabkan lamanya mereka direhatkan. Pemberontakkan ini jika tidak dihentikan akan menjadi revolusi. Justeru antara sebab kenapa perang ditamatkan adalah untuk mengelakkan revolusi. Maharaja Prussia dan Jerman turun takhta dan tidak pernah kembali walaupun timbunan kekayaannya mengalir ke tangan Baginda sehingga kemangkatan pada 1941.
Gencatan senjata yang diadakan menyebabkan Jerman menyerahkan sebahagian besar kelengkapan perang dan armada laut. Punca kekalahan Jerman bukanlah kerana revolusi tetapi disebabkan pengakuan Ludendorf bahawa Jerman telah kalah dan revolusi menyelamatkan tentera dan perpaduan Jerman. Tanpa disedari Jerman sedang merangkul kemenangan pada masa hadapan hasil dari ketewasan kini.  Hakikatnya negarawan yang memenangi peperangan terpaksa mengukuhkan keamanan dengan sikap dan senjata yang sama ketika bertempur.


1919 : Sesudah Perang
Sungguhpun peperangan besar telah tamat tetapi ia masih disusuli dengan pertempuran kecil. Negara Berikat dibiarkan sendirian tanpa ada bantuan dari Amerika yang dihentikan. Keamanan masih jauh dan dunia dibiarkan bersendirian. Para negarawan diharapkan untuk membina keamanan dari gagasan yang dicadangkan dan dalam masa yang sama memuaskan hati pihak yang bertelagah. Dari perjanjian yang digagaskan oleh pihak pemenang, Jerman merasakan tertipu kerana keamanan mereka telah diaturkan dan mereka masih dilayan sebagai musuh.
Kawasan jajahan Jerman diceraiberai dan di ambil sesuka hati. Austria yang merupakan leluhur Jerman gagal diperolehi tetapi mereka mendapat si misai kontot yang bakal memimpin Jerman kemudiannya.
Ironinya tempat menandatangani Perjanjian Versailles di Dewan Cermin adalah tempat yang sama Empayar Jerman diisytiharkan pada 1871. Pada 28 Jun 1919 Perang Dunia Pertama ditamatkan secara rasminya menerusi sambutan meriah pihak yang memenanginya.
Peranan Soviet yang tidak seberapa pada era sepanjang perang selepas lelah melalui perang saudara dan kebuluran diiktiraf secara kasar oleh Kuasa Berikat pada 1924. Soviet ditolak dan dipencilkan secara perlahan–lahan. Situasi ini menyebabkan Dunia kemudiannya melalui perbezaan dua kutub iaitu Demokrasi dan K0mu1s. Kesannya lebih ketara apabila tamatnya Perang Dunia Kedua dengan terbinanya tirai besi (iron curtain). Kemusnahan yang tercipta sepanjang perang dunia pertama dihilangkan menjelang 1925.
Seorang pakar ekonomi J.M Keynes berpendapat masalah terbesar manusia pada masa hadapan adalah kemiskinan. Kuasa penghasilan akan berkurangan. Sebaliknya lebihan dari penghasilan menghasilkan masalah kepada manusia. Dari melemahkan sumber perdagangan, perang menghasilkan rangsangan. Kesan utama perang kepada manusia adalah sudut fikiran dan bukan daya penghasilan. Penyusutan mata wang, pampas an dan hutang perang merupakan bayangan yang menakutkan dalam senggang waktu antara perang. Turki Uthmaniyyah tumbang dengan digantikan negara berkebangsaan. Russia dan Jerman kekal tanpa dikenali sebagai empayar.
Idea penubuhan Liga Bangsa yang kemudiannya berkembang menjadi Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu mendapat tamparan hebat kerana pada mulanya ditolak oleh Amerika dan juga pertambahan pengaruh Anglo-Saxon. Ada dua masalah yang dihadapi iaitu membentuk jalan keamanan sebenar dan dan kedua adalah untuk mempertahankan keamanan. Masyarakat dijanjikan usai Perang Dunia Pertama tidak aka nada peperangan seumpamanya. Perang abadi untuk keamanan abadi. Keamanan itu hanyalah utopia. Siapa sangka pada 1939 semboyan perang sekali lagi dimainkan dan ia mengakibatkan impak kemusnahan yang lebih besar. Perang berada diluar dari keupayaan jeneral dan negarawan.

Produk Berkaitan