Tunku, siapa itu?
Ada sesuatu yang berbeza pada diri Tunku di mata kebanyakan orang seusia saya, yang hidup tidak sezaman dengan Tunku (Tunku wafat pada tahun 1990). Dia berbeza pada saya kerana saya tiada rasa, tiada keperluan sehingga tidak wujud nama Tunku untuk menjadi orang yang ingin saya kenali. Saya hanya mengenalinya sebagai orang yang melaungkan “merdeka” beberapa kali tanda Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Sekadar itu, pengetahuan tentangnya berhenti di situ. Kemahuan untuk mengetahui perkara lain tentang dirinya juga berhenti di situ.
Perasaan sebegini tidak aneh walaupun saya malu menyebut perasaan “tiada rasa” itu. Tidak aneh kerana ramai yang hidup tidak sezaman dengan waktu Tunku hidup juga “tiada rasa” untuk tahu lebih lanjut tentang bapa kemerdekaan ini. Seolah-olah fikiran saya seperti ini: kalau saya tidak kenal Tunku, saya masih hidup elok sahaja.
Tatkala masuk ke IBDE, Ketua Pengarang kami memberi tugasan kepada Abdullah Hussaini untuk menterjemahkan The First World War karangan A. J. P. Taylor. Saya juga tidak tahu siapa nama ini ketika itu, yang saya tahu ialah dia orang Inggeris. Selaku penterjemah seperti Abdullah Hussaini juga, saya diberikan naskhah Tunku: An Odyssey of a Life Well-Lived and Well-Loved karya Kobkua Suwannathat-Pian. Nama penulisnya unik, kedengaran seperti bukan nama Melayu, bukan Inggeris juga. Saya tebak buku biografi Tunku ini bersifat peribadi kerana perkataan “love” di situ, entah berapa banyak kisah cinta Tunku yang akan saya temui dalam buku ini. Sebelum ini saya hanya dengar-dengar di hujung telinga bahawa Tunku minum wiski, bermain kad dan lumba kuda, tidak berapa beragama, pengaruh Inggeris menebal dan anak raja yang mustahil tahu kesusahan orang seperti kita.
Kobkua menulis dalam Pengenalan buku ini, “the bulk of the research took about three years and the writing another two years.” Otak saya bergerak untuk memahami maksud Kobkua tentang selama mana dia selaku profesor sejarah telah cuba menulis tentang Tunku—seorang yang tidak penting untuk diketahui di mata saya. Kemudian saya terjemahkan sebagai “Bahagian kajian sahaja memakan masa tiga tahun, manakala dua tahun lagi saya luangkan untuk menulis.” Cukup sampai di bahagian Pengenalan, saya sudah tahu saya perlu menterjemah kerja lima tahun ini dalam masa setahun mengikut jadual penerbitan kami. Banyak sungguh cerita Tunku sehingga seorang profesor memerlukan lima tahun untuk menulisnya?
Selamat datang, Tunku
Tunku Abdul Rahman ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah ialah anak ke-20 daripada 43 orang anak Sultan. Ibundanya bernama Neuang Nontanakorn anak perempuan Luang Naraborirak. Setelah berkahwin lalu menjadi isteri ke-6 daripada lapan orang isteri Sultan Kedah, Nontanakorn dipanggil Che Puan Manjalara.
Manjalara seorang ibu, seperti ibu-ibu lain;
“His mother soon moved him to a small English medium school under a headmaster named Mohamad Iskandar,” dan “Most probably because of his preference for playing rather than schooling, Che Manjalara decided to send him away from Kedah.”
Akibat Tunku kerap ponteng kelas kerana bermain di padang dengan budak-budak kampung yang lain, “Tidak lama selepas itu, ibu Tunku memindahkannya ke sebuah sekolah Inggeris yang kecil. Guru besar di sekolah itu bernama Mohamad Iskandar.” Namun Tunku tetap sama, maka “Boleh jadi atas sebab kecenderungan Tunku yang lebih suka bermain berbanding bersekolah, Che Manjalara mengambil keputusan untuk menghantar Tunku jauh dari Kedah.” Ibu ini memang benar melaksanakan rancangannya, maka Tunku dihantar ke Thailand supaya dia belajar.
Tunku tinggal bersama-sama kakandanya di Thailand. Tunku sebutkan waktu ini sebagai waktu yang paling berharga dalam hidupnya kerana di situlah dia memerhatikan sikap abangnya yang enggan bekerja di bawah penjajah. Sikap ini merupakan sebuah nilai besar tatkala ramai pemerintah Melayu lebih selesa untuk terus bekerja di bawah Inggeris.
Bukan Hitam Putih
Di sinilah kerja menterjemah biografi Tunku menjadi sesuatu yang mencabar. Tunku ditanam dengan nilai antipenjajah sedari kecil, namun dia pula dihantar belajar ke London, negeri penjajah. Menurut rekod, sepanjang di London, Tunku sebenarnya mengambil dua ijazah iaitu sejarah dan undang-undang namun lulus satu sahaja daripada Oxbridge (Nanti ada percubaan kali keduanya mendapatkan ijazah ini). Tunku sendiri mengakui dirinya seorang yang suka bermain-main dan bergembira sesuka hatinya—seperti sikap orang kebaratan—semasa di London. Dasar-dasar Tunku semasa memperjuangkan kemerdekaan pula bersifat antipenjajah—Tunku memilih merdeka berbanding berkerajaan mandiri di bawah “naungan” British. Namun Tunku menyokong penggunaan bahasa Inggeris terutamanya di universiti sehingga mencetuskan penubuhan Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam dirinya seolah-olah berhimpun dua aliran pemikiran yang teradun, Tunku antipenjajah tetapi bukan anti-Inggeris. Apa-apa nilai dan dasar yang baik—di matanya ataupun di akalnya—akan dikutip lantas dijadikan pedoman Tunku.
Pastinya sifat bukan hitam-putih ini juga ada dalam diri manusia biasa. Tidak wujud manusia yang baik semuanya mahupun yang buruk semunya.
Tunku Menjadi Ayah
Semasa bertemu dengan penulis buku Tunku usai terbitnya buku ini, saya bertanya kepada Profesor Kobkua, “Mengapakah Tunku, semasa kali pertama menjadi ayah dengan kelahiran Tunku Khadijah dan Tunku Ahmad Nerang, telah menjadi ayah yang “cuai”—perkataan saya. Namun lebih 30 tahun kemudian, apabila Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura lahir, Tunku menjadi ayah yang akrab?”
Tutur Tunku Ahmad Nerang, “[My father] never demostrated his affection for me. To me, I would still say that Tunku was not much of a family man. He was more a man of the people...”
Jika seorang anak menuturkan, “[Ayah saya] tidak pernah menunjukkan kasihnya kepada saya,” pastilah luahan itu benar dari mata anak itu meskipun dia telah matang untuk mengakui kelemahan ayahnya sebagai bapa, “Bagi saya, saya tetap katakan Tunku bukan tokoh yang mementingkan keluarga. Beliau lebih tepat disebut sebagai tokoh yang mementingkan rakyat...”
Lain pula sifat Tunku yang disebut dalam temu bual antara Kobkua dengan Tunku Noor Hayati pada 19 Jun 2013. Beliau menceritakan bagaimana ayahnya sentiasa mencurahkan kasih dan perhatian kepadanya.
Profesor Kobkua tersenyum mendengar soalan saya seraya menjawab: “Tunku terpaksa menjadi ayah sebegitu, meninggalkan anak di bawah jagaan saudara dan kenalan. Anaknya berpindah daripada seorang ke seorang asalkan ada tempat tinggal. Kerana merdeka lebih penting ketika itu. Setelah merdeka, dia menjadi ayah yang dia mahu, semahunya menyayangi anaknya.”
Tunku dalam Kehidupan Kita Hari Ini
Bagi seorang penterjemah, kelana menterjemahkan biografi Tunku ialah kelana yang penuh cinta juga. Dari situ saya sedar dan mula berfikir, “Apakah perjalanan setiap kita rakyat Malaysia sekiranya Tunku tidak menggerakkan idea untuk mempunyai sebuah lagu (Negaraku) yang kita nyanyikan setiap hari semasa bersekolah dahulu. Pada zaman Tunku muncul juga, tiada adat istiadat keramaian yang dijadikan perlembagaan. Tunku kemudiannya meletakkan adat diraja dan lain-lain adat Melayu dalam perlembagaan supaya kita mempunyai satu tanda pengenalan yang dikongsi bersama.
Akar Melayu yang ada dalam lagu kita, jata negara, bahasa dan bunga kebangsaan, alat kebesaran diraja serta darjah kebesaran ialah hasil usaha Tunku. Akar Melayu ini tidak sama sekali memadamkan nilai bangsa lain. Tunku digelar “anti-Melayu” oleh pelampau Melayu pada zamannya kerana memberi laluan kerakyatan dan peluang mempelajari bahasa Melayu 10 tahun sebelum bahasa ini diwartakan sebagai satu-satunya bahasa rasmi. Namun Tunku-lah yang meletakkan kedudukan tinggi bahasa Melayu dalam perlembagaan sehingga wujud juga orang Cina, India dan kaum lain yang menggelarnya “Putera Melayu” bagi menzahirkan bagaimana mereka melihat Tunku yang hanya menjaga kepentingan orang Melayu. Namun selain memberi ruang kerakyatan kepada kaum bukan Melayu yang mahu setia kepada tanah air ini, Tunku jugalah orangnya yang memberi hak mengundi dalam pilihanraya kepada kaum bukan Melayu supaya setiap rakyat yang ingin setia dapat menentukan perjalanan negara ini.
“Dalam pada kita hendak menolong orang-orang Melayu itu maka kita kenalah patuh kepada Perlembagaan dan menghormati agama dan hak orang-orang lain. Inilah sahaja jalan yang sebaik-baiknya untuk menjamin kemakmuran Malaysia dan langkah ini perlu diambil kerana Malaysia ini dibentuk di atas asas muhibah dan kerjasama antara kaum. Negara ini kaya dan boleh memberi tempat kepada semua orang...”—Tunku Abdul Rahman, 23 Oktober 1970.
Sejarah Tunku terasa jauh sedangkan Tanah Melayu baru merdeka selama 65 tahun manakala Sabah dan Sarawak pula bergabung membentuk Malaysia 59 tahun lalu. Usia merdeka ini mungkin seusia ibu dan ayah kita. Tunku pula mangkat pada tahun 1990, tahun kita lahir atau membesar namun mengapakah nama Tunku terasa asing? Semoga biografi Tunku: Kelana Penuh Cinta menjadikan hidup kita lebih bererti menghirup merdeka apabila kita lebih mengenali peribadi pejuangnya.