Watak-watak di Zaman Penjajahan Jepun dan Darurat Malaya

Watak-watak di Zaman Penjajahan Jepun dan Darurat Malaya

Buku berkenaan perang dan sejarah selalu mendapat perhatian dan laris jualannya. IBDE telah menerbitkan dua buah buku tentang perang dunia iaitu Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua; masing-masing karya A.J.P. Taylor. Kedua-dua judul ini diulang cetak dan hari ini hadir dalam bentuk kulit lembut yang lebih menawan. Sementara itu turut mengikut jejak langkah adalah buku Perang Anjing Suruhan: Darurat dan kekalahan Komunis di Malaya 1948-60 dan Bintang Merah di Langit Malaya: Sebelum dan Selepas Pendudukan Jepun, 1942-46.  Dua buah buku ini merupakan karya berkenaan keadaan negara sebelum Jepun dan sehingga Darurat tamat. 

Ada dua buah lagi buku berkaitan sejarah negara yang turut mendapat sambutan hangat iaitu Tanpa Ampun: Tiga Tahun diburu Jepun di Rimba Malaya karya Freddie Spencer Chapman. Penulisnya merupakan pegawai tentera British ketika pendudukan Jepun. Kegetiran perjuangannya dalam hutan khatulistiwa, muslihat dan helah pertempuran rimba, dan bahaya berjenis binatang buas dicatatkan lewat tulisan yang cukup mengagumkan. Tidak hairan buku ini menjadi salah satu rujukan klasik peperiksaan dalaman tentera negara kita. Sementara itu buku Mata-mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas dalam Darurat tulisan Leon Comber pula menceritakan peranan unit Cawangan Khas dalam memastikan keamanan negara selama tempoh sebelum dan penghabisan Darurat. Karya ini menyelak tabir-tabir rahsia sejarah yang ramai tidak tahu khususnya berkaitan satu unit yang cukup digeruni pada zamannya. Apa yang penting ia ditulis oleh seorang pegawai Cawangan Khas sendiri, yang tahu selok-belok dan helah bahagian tersebut dalam melumpuhkan komunis pada zamannya.

    Pada tahun 1948, ketika serangan demi serangan komunis memuncak, surat khabar Straits Times mengulang pandangan setiap peladang Malaya dengan tajuk ringkas “Govern or Get Out” (Kawal Keadaan atau Berambus). Dalam sehari, Edward Gent yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi Malaya serta-merta mengumumkan darurat. Sebuah negara yang baru hendak pulih daripada luka keganasan Jepun kini berdepan keganasan komunis pula.

   Ironinya, naratif darurat yang penuh darah dan luka diperikan dengan indah dan sasterawi oleh Noel Barber, wartawan dan penulis British. Dalam buku Perang Anjing Suruhan: Darurat dan kekalahan Komunis di Malaya 1948-60 menonjolkan watak-watak aneh dan menarik, dengan keperibadian masing-masing yang berani dan tersendiri. Mungkin tidak ramai tahu, antara pengasas Force 136 dan Askar Wataniah iaitu Yeop Mahidin pernah sekelas dengan Abdullah CD, lelaki yang akan dilawannya kelak. Bahkan, Abdullah merupakan sepupu Yeop. Sesudah pendudukan Jepun berakhir,  Yeop berkongsi kabin dengan Chin Peng dalam sebuah kapal menuju London untuk menerima pingat dari Ratu England.

   Harus juga disebutkan peranan Malaysian People Anti Japanese Army ketika pendudukan Jepun. Pencerobohan Manchuria dan Perang China-Jepun pada 1937 telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kaum Cina di semenanjung Tanah Melayu. Apabila Parti Komunis Malaya ditubuhkan, parti ini mendapat dukungan penuh kaum itu. Kekejaman dan penindasan oleh Jepun telah mewujudkan satu kerjasama antara British dan PKM. Demikianlah bagaimana tertubuhnya MPAJA; mereka mendapat bantuan senjata dan latihan daripada British, sehingga sebahagian anggotanya menerima pingat di London. Sesudah berakhirnya pendudukan Jepun, tidak semua anggota MPAJA melucutkan senjata. Seperti yang kerap diulang dalam buku sejarah negara, Bintang Tiga membuat onar selama empat belas hari. Sungguhpun keadaan sedikit reda sekembalinya British ke Malaya, komunis tetap meneruskan gangguannya. Kemucaknya adalah pada tahun 1948 apabila banyak ladang getah dan lombong diganggu sekaligus mengancam ekonomi penjajah ketika itu. Darurat diisytiharkan, tetapi mengapa tidak digelar perang?

   Seperti yang disebut John Gullick, seorang yang pakar tentang Malaya dan bekas pegawai Perkhidmatan Awam Malaya, “Ia sebuah perang tetapi dengan mengambil kira pasaran insurans di London, tempat ekonomi Malaya bergantung untuk perlindungan ganti rugi, tiada sesiapa yang pernah menggunakan perkataan tersebut. Istilah yang tidak tepat itu berterusan dipakai selama 12 tahun atas alasan mudah bahawa kadar insurans melindungi kerugian saham dan peralatan akibat rusuhan dan kekacauan awam sewaktu darurat dan bukan sewaktu peperangan sivil.” Nampaknya faktor ekonomi merupakan salah satu pemula Darurat. Bagaimana pula dengan keadaan ekonomi penduduk biasa ketika itu? Rata-ratanya masih dalam ruang ekonomi hasil dasar pecah perintah British. Bijih timah dan getah, dua komoditi yang berkembang pesat memungkinkan serba sedikit keharmonian hidup antara tiga kaum utama Malaya. Gambaran sekilas penghuni negara ini disebut Noel: Orang Asli yang enggan tunduk kepada kuasa sultan dan menghuni hutan; orang Melayu yang hidup sederhana, orang Cina yang rajin bekerja; dan sumber tenaga buruh ladang, orang India.

    Sehingga kini, kejayaan Malaya mengalahkan komunis terus-menerus dikaji pemimpin tentera seluruh dunia. Rancangan Briggs oleh Sir Henry Gurney dan Sir Harold Briggs merupakan suatu revolusi sosial terbesar yang pernah dilaksanakan di Asia—penempatan semula seramai 600,000 penduduk setinggan ke sejumlah Kampung Baru; revolusi yang anehnya mungkin tidak akan tercetus jika tiada ancaman Komunis. Noel Barber membahagikan Darurat kepada tiga tempoh; 1948-51 Serangan Komunis, 1952-54 Serangan Balas, dan 1954-60 Jalan Menuju Kemenangan. Tiga watak utama ketika Darurat: Sir Henry Gurney, Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng. Riwayat Henry Gurney berakhir di tangan Komunis. Lelaki yang berjasa besar dalam pendudukan British di Palestin ini meninggalkan satu contoh klasik bagi menumpaskan taktik-taktik Mao Zedong tanpa menjadikan keadaan bertambah buruk dan menumpahkan banyak darah. Tunku, negarawan anti-komunis yang gigih memastikan negara barunya bebas pengaruh Komunis dan dalam satu rundingan terkenal dengan pemimpin Komunis, ia menyebut, “Jika kamu inginkan perdamaian di negara ini, satu pihak mesti menyerah kalah—sama ada kami menyerah kalah kepada kamu, atau kamu menyerah kalah kepada kami. Saya tidak akan sesekali menyerah kalah, jadi kamu mestilah menyerah kalah.” Rundingan Baling tidak menghasilkan keputusan seperti yang dikehendaki setiap pihak. Maka Chin Peng kembali ke hutan, menyambung perlawanan Komunis sehingga berundur ke Thailand. Mungkin abu mayatnya kembali bersemadi di laut dan gunung Malaysia pada tahun 2019, namun dia tak sekali dapat menuai hasil “perjuangannya”.

  Sebelum tiba Darurat elok juga kita cari benihnya yang menumbuhkan beragam kemelut yang masih terasa ke hari ini. Sejarawan tanahair, Cheah Boon Kheng ialah tokoh bidang sejarah yang saksama dalam menilai naratif pensejarahan. Seperti Noel Barber, Cheah juga seorang wartawan ketika mudanya sebelum menyambung belajar dalam bidang sejarah dan sastera. Topik berkaitan komunis menjadi kepakarannya dan tidak hairanlah bukunya Red Star Over Malaya: Resistance and Social Conflict During and After the Japanese Occupation of Malaya, 1941-46 menjadi rujukan ramai pengkaji dan peminat sejarah. Apabila Bintang Merah di Langit Malaya diterbitkan, buku ini mendapat sambutan hangat daripada pembaca. Kajian terperinci Cheah ini menumpukan kepada perlawanan dan kemelut sosial semasa dan selepas pendudukan Jepun. Dalam pengenalan buku ini Cheah menyebut penentangan orang Melayu terhadap komunisme sebahagian besarnya berpunca daripada peristiwa yang berlaku pada tahun 1945. Tahun Jepun menyerah kalah dan tahun keganasan Bintang Tiga. Pada zaman yang tidak ada gambaran dalam kepala setiap warga apa itu Persekutuan Tanah Melayu, setiap kaum yang sudah berpecah, kian merebak perpecahannya. 

   Jika Noel Barber menyebut sepintas lalu latar ekonomi setiap kaum di Tanah Melayu, sebaliknya Cheah menampilkan data-data yang rinci. Data kependudukan yang disertakan selain menyebut kemunduran orang Melayu  telah mengabsahkan pandangan-pandangan bahawa memang kehidupan orang Melayu itu mundur sejak dijajah. Tidak menghairankan ketidakpuashatian ini terjelma dalam keretakan hubungan antara kaum, dan barangkali kemuncaknya adalah pada 1969. Sejak 1800, orang Cina menganggap diri mereka sebagai Huah Ch’iao (orang Cina seberang laut). Orang India pula berasakan kebajikan mereka terjaga dek pengaruh secara langsung wakil kerajaan mereka ke atas buruh India di Tanah Melayu. Sedang orang Melayu pada tahun 1941 pula hanya nama Kesatuan Muda Malaya paling menonjol. Apakah yang menyatukan mereka akhirnya? Malayan Union? AMCJA-PUTERA? Atau pilihanraya umum? Pendudukan Jepun bakal mendedahkan lebih lanjut betapa dalamnya perbezaan kaum ini dan ia juga bakal mengubah ketegangan terpendam menjadi perselisihan terbuak dan berpanjangan.

    Sebaik serangan Jepun pada 8 Disember 1941, British memulihkan hubungannya dengan PKM dan mendesak Raja-raja Melayu agar menyeru warga Malaya setia kepada British serta menentang Jepun. Chiang Kai-shek di China pula menyeru ahli-ahli Koumintang (KMT) di Tanah Melayu agar bersatu di belakang British. Gabenor Singapura, Sir Shenton Thomas, mengisytiharkan pembatalan pengharaman ke atas PKM, KMT dan beberapa persatuan Cina lain. Harus diingat, bukan kesemua orang Cina menyokong PKM. Sepertimana perseteruan Komunis-KMT di China, seperti itulah juga suasananya di Malaya. Ketika itu sebahagian orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu terus di samping British dan sebahagian yang lain, yang merupakan ahli KMM, bekerjasama dengan Jepun. Apabila Jepun menguasai penuh Malaya, penindasan terhadap kaum China bertambah-tambah. Kekejamannya di luar fikiran kita. Sedang orang Melayu bekerjsama dengan Jepun, hal ini menaikkan curiga dan benci kaum Cina dan sedang tindakan ganas MPAJA terhadap orang Melayu, kecurigaan tetap marak ketika bersapa.

   Sejurus penyerahan kalah Jepun, MPAJA mula berseteru dengan Askar Melayu Setia dan Askar Wataniah. Disebabkan keanggotaan pasukan Melayu ini kecil, sebahagian daripada mereka berpihak kepada pasukan KMT. Namun, menurut buku ini, selain PKM, anggota KMT turut melakukan keganasan dan hal ini mungkin kurang diceritakan. Bahkan banyak keganasan itu PKM mendapat namanya. Menurut Cheah, zaman itu menyaksikan pisau dan pistol berkuasa. Perebutan kawasan antara gerila MPAJA, KMT dan kongsi gelap Cina sungguh menakutkan rakyat biasa. Pemberontakan komunis tidak menemukan kemenangan. Mereka cuba mendapatkan tempat dalam rundingan kemerdekaan tetapi ditolak. Pada 31 Ogos 1957, Perikatan berjaya mendapatkan kemerdekaan untuk Malaya.

    Keempat-empat judul yang disebutkan saling berkaitan. Di  dalamnya terkandung rakaman kritis sejarah negara, subjek-subjek sensitif yang kurang menjadi perbincangan kita, dan watak-watak yang sedikit sebanyak membentuk rupa Malaysia hari ini. Kita merenung sejenak kepada sejarah untuk mengambil pengajaran sebelum mengatur langkah maju ke hadapan.


    



Produk Berkaitan